Mari Belajar PIC: Kelas 2 - Litar Asas PIC 1

Bertemu lagi dalam kelas Mari Belajar PIC yang ke-2. Untuk kelas kali ini, kita akan mempelajari litar asas PIC menggunakan komponen yang minimum untuk belajar. Sebelum kita ke litar asas PIC, perlu untuk kita mengetahui secara menyeluruh bagaimana sesuatu litar PIC berfungsi, dari mula program ditulis sehinggalah program dimasukkan ke litar PIC untuk litar PIC tersebut berfungsi.

Terdapat 3 bahagian utama untuk memprogram PIC, iaitu dari PC (software untuk menulis program dan software untuk compile program) ke Programmer (merupakan suatu litar untuk memindahkan program yang telah di"compile" di PC ke PIC) dan seterusnya ke litar PIC.

Software
Software yang diperlukan ialah untuk:
1. Menulis program
2. Meng"compile" program
3. Membina litar untuk simulasi

Untuk menulis program ke PIC, kita haruslah mengetahui bahasa pengaturcaraan (programming language) yang boleh digunakan untuk memprogram PIC. Jika anda meng'Google' untuk mencari bahasa yang digunakan untuk memprogram sesuatu PIC, anda akan menemui senarai program (programming list) dalam bahasa yang anda sendiri tidak faham. Ini kerana dalam tahun sebelum 2000, kebanyakkan bahasa yang digunakan adalah bahasa peringkat rendah seperti BASIC (kebanyakkannya sudah tidak menggunakan bahasa ini lagi) dan Assembly (.asm). Assembly language masih lagi digunakan dan merupakan bahasa yang popular. Sebab itu jika kita merujuk kepada buku-buku era 90an dan awal 2000, kebanyakkan pengaturcaraan PIC menggunakan bahasa Assembly.

Kini bahasa yang mudah untuk difahami serta mudah untuk menulis adalah bahasa C (C language) yang merupakan salah satu bahasa peringkat tinggi (high level language). Kenapa bahasa-bahasa ini perlu diketahui sebelum menulis sesuatu program? Ini kerana setiap bahasa memerlukan aplikasi software yang berbeza bagi satu-satu bahasa. Contohnya bahasa BASIC boleh ditulis menggunakan MikroBASIC, BASIC Pro dan sebagainya yang khusus untuk bahasa BASIC. Manakala bahasa C boleh ditulis menggunakan MikroC tetapi tidak boleh menggunakan MikroBASIC dan sebaliknya. Bagi bahasa Assembly, kebanyakkan software compiler boleh digunakan, termasuk juga MikroC. Ini kerana bahasa Assembly sudah terkenal dan banyak digunakan. Untuk pelajaran kelas ini, kita akan menggunakan bahasa C dan ditulis pada software MikroC.

Program Compiler
Kita boleh menulis dan meng"compile" program yang ditulis sekaligus menggunakan software MikroC yang sama. Apa itu program compiler? Setelah kita menulis program dalam apa jua bahasa, kita perlu untuk meng"compile" program tersebut kepada bahasa mesin (machine language). Apa pula bahasa mesin? Secara mudah, bahasa mesin adalah bahasa yang difahami oleh mesin (PIC) yang biasanya dalam bentuk bit nombor binary atau hexadecimal. Untuk mengetahui secara lanjut, bolehlah meng"Google" tentang bahasa mesin. Setelah kita meng"compile" program tersebut, contohnya jika ditulis dalam bahasa C, biasanya file yang di"save" mempunyai sambungan (extension) .c, akan ditukar kepada hex file iaitu file dengan extension .hex. File tersebut adalah sedia untuk dipindahkan atau diprogram ke PIC.

Programmer
Untuk memindahkan file hex tersebut, kita memerlukan programmer iaitu suatu litar (hardware) yang disambungkan dari PC (melalui USB port atau serial port RS232) ke PIC (disambungkan ke pin PGD, PGC, MCLR, VSS dan VDD). Sambungan ke PIC ini mengikut jenis PIC dan bilangan pinnya dan biasanya bilangan pin berbeza adalah berbeza sambungan pinnya. Rujuk datasheet PIC tersebut sebelum membuat penyambungan.

Jenis-jenis litar programmer juga berbeza. Sekiranya anda ingin menggunakan programmer sedia ada di pasaran, anda perlu mengetahui apa yang anda perlukan sebelum membelinya. Terdapat programmer dalam bentuk litar untuk fungsi memindahkan hex file ke IC PIC anda sahaja. Jika anda ingin membeli programmer jenis ini, lebih baik jika membeli programmer yang universal yang boleh memprogram semua jenis bilangan pin PIC dari 8, 14, 18, 20, 28 dan 40 pin. Ini kerana jika anda perlu menggunakan salah satu jenis bilangan pin PIC tersebut, programmer tersebut boleh digunakan.

Programmer jenis ini biasanya agak mahal, disebabkan fungsinya untuk memenuhi semua jenis PIC. Akan tetapi kelemahannya ialah IC PIC dimasukkan ke soket IC PIC programmer untuk memindahkan hex file dan kemudian IC PIC perlu dikeluarkan untuk dimasukkan ke soket IC PIC litar PIC yang dibina. Jika program perlu diuji sehingga berjaya, proses mengeluarkan IC PIC dan memasukkannya semula membuatkan proses ujian program menjadi remeh dan ada kemungkinan kaki pin PIC bengkok, patah atau rosak disebabkan mungkin tidak disengajakan semasa mengeluarkan dan memasukkan IC PIC.

Terdapat juga programmer jenis sambungan terus ke litar PIC. Programmer jenis ini biasanya murah disebabkan sambungan kepada PIC serta komponen terbabit berada pada litar PIC yang kita bina. Kita hanya perlu mengetahui sambungan pin dari programmer (biasanya dalam bentuk connector) dan kemudiannya kita menyediakan sambungan ke pin PIC dalam bentuk connector tersebut juga. Programmer jenis ini memudahkan kita memindahkan hex file ke PIC secara terus ke litar dan dapat diuji terus tanpa perlu mengeluarkan IC PIC seperti programmer jenis yang dinyatakan sebelum ini. Programmer jenis ini adalah disarankan.

Software Simulasi Litar
Untuk membuat simulasi litar PIC sebelum hex file dipindahkan ke litar PIC sebenar, kita boleh menggunakan software simulasi litar seperti SIMULINK, Proteus dan sebagainya. Untuk kelas ini, kita akan mempelajari software simulasi litar Proteus dalam Pengaturcaraan PIC (PIC Programming).

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumbalas, sila komen pada entry ini atau menggunakan borang maklumbalas di bawah. Komen membina anda adalah diperlukan untuk menambahbaik blog ini. Terima kasih.

Ulasan

Catatan Popular