Mari Belajar PIC: Kelas 1 - Pengenalan kepada PIC

Selamat datang ke Kelas Pertama Mari Belajar PIC yang memang ditulis khas kepada semua lapisan masyarakat seluruh Malaysia khasnya (kerana ditulis dalam Bahasa Melayu) dan kepada semua penduduk dunia (boleh dialih bahasa kepada bahasa lain melalui Google Translate). Tujuan pengajaran ini ditulis untuk memberi maklumat dan ilmu kepada sesiapa sahaja sama ada dewasa ataupun pelajar sekolah rendah yang tidak tahu ataupun mahu belajar tentang robot dan pengawal mikro (microcontroller). Tidak perlu latar belakang elektronik yang khusus. Hanya perlu tahu menggunakan komputer sudah cukup untuk mempelajari microcontroller (sudah tentu anda tahu menggunakan komputer, jika tidak anda tidak akan berada dalam laman blog ini =) )

Pengenalan Kepada PIC
Mari kita mulakan kelas pertama ini. Apa itu PIC? PIC bermaksud Peripheral Interface Controller. Ianya adalah sejenis microcontroller. Apa pula microcontroller? Seperti namanya, microcontroller adalah satu pengawal yang kecil dalam bentuk litar elektronik. Ianya seperti litar elektronik biasa yang mempunyai beberapa komponen yang mengawal isyarat masukan (input), memprosesnya dan kemudian memberi maklumbalas (feedback) dalam bentuk keluaran (output) untuk memjalankan sesuatu fungsi. Uniknya litar microcontroller ini ianya mempunyai IC (intergrated circuit) yang mana IC tersebut boleh diprogramkan mengikut kehendak kita. Jika litar elektronik yang biasa akan menjalankan sesuatu fungsi tersebut secara khas dan tidak boleh ditukar kepada fungsi lain.

Sebuah komputer merupakan juga satu sistem kawalan. Komputer mempunyai pemproses mikro (microprocessor), RAM (Read Access Memory), Hardisk dan sebagainya. Microcontroller adalah serupa, tetapi saiznya jauh lebih kecil iaitu hanya sebesar IC 8, 18, 28 dan 40 pin. IC unik yang boleh diprogramkan itu adalah microcontroller. Memandangkan ianya bersaiz terlalu kecil berbanding litar komputer, maka kemampuannya juga terhad dan kecil. Di dalam microcontroller ini juga terdapat microprocessor, RAM (nilai yang terhad), hardisk dalam bentuk flash memory seperti pendrive anda serta beberapa fungsi modul yang lain.

IC microcontroller ini tidak dapat berfungsi dengan sendiri. Ianya memerlukan beberapa komponen tambahan untuk menjadikan litar microcontroller lengkap. Komponen tambahan ini bergantung kepada jenis IC microcontroller yang digunakan. Salah satu jenis IC microcontroller adalah PIC keluaran Microchip yang telah disebutkan. Jenis lain yang terdapat dalam pasaran ialah seperti Atmel (yang terkenal dengan sistem Arduino), Intel 8051, Z80 dari Zilog dan banyak lagi.

Kenapa PIC?
Saya memilih untuk memberi penekanan kepada PIC berbanding microcontroller yang lain kerana kosnya murah, siri PIC yang pelbagai (terdapat siri dari PIC10, PIC12, PIC16, PIC18, PIC24, PIC30 dan PIC32) yang boleh dipilih mengikut berapa besar sistem kawal yang dikehendaki, pengguna yang ramai (menjadikan ianya dikenali) dan juga banyak development tool untuk PIC yang boleh dimuat turun secara percuma di internet. Oleh kerana PIC merupanya microcontroller dalam bentuk IC yang boleh diprogramkan, saya suka menyebut ianya sebagai Programmable IC untuk akronim PIC disebabkan ianya adalah IC yang sama bentuk dengan yang lain, cuma ianya tiada fungsi (seolah-olah seperti IC yang kosong) sehinggalah kita yang mencorakkan fungsinya mengikut kehendak kita melalui program yang ditulis dan dimasukkan ke dalam IC tersebut.

Keluarga PIC
8-bit (PIC10, PIC12, PIC16, PIC18)
16-bit (PIC24F, PIC24H, dsPIC30, dsPIC33)
32-bit (PIC32)

Apa pula 8-bit, 16-bit, 32-bit? Memandangkan anda yang membaca blog ini ada capaian internet, saya tidak mahu mengulas lebih dalam tentang bit ini kerana ianya agak mendalam bagi mereka yang tiada asas elektronik digital. Oleh itu, sebagai kerja rumah, anda bolehlah mencari maksud bit dan penggunaannya melalui carian Google dan sebagainya. =) Secara ringkas, microcontroller memerlukan bahasa mesin (machine language) dalam bentuk nombor asas dua (base 2 number atau dipanggil binary number) 0 dan 1, serta nombor asas enam sepuluh (hexadecimal) bukannya asas 16 sebagai bahasa mesin. Kita akan belajar bahasa mesin ini dalam kelas akan datang dalam pengaturcaraan (programming) PIC.

Bit yang dimaksudkan adalah bilangan susunan nombor binary sebagai contoh nombor 8-bit adalah 1010 0101, di mana terdapat 8 angka nombor binary 0 dan 1. Perbezaan antara 8,16 dan 32-bit PIC pula ialah, secara mudahnya semakin banyak bilangan bit, semakin laju pemprosesan data, semakin banyak bilangan input, semakin banyak juga bilangan output. Sebagai contoh, 8-bit PIC mempunyai 8 input bagi satu register (memory), 8 output bagi satu register dan memproses 8 angka binary serentak.Oleh itu semakin banyak bit, 16 atau 32, semakin laju microcontroller tersebut.

Kita akan sambung kelas PIC kita dalam kelas yang ke-2 di mana kita akan mempelajari litar asas PIC. Nantikan. =)

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumbalas, sila komen pada entry ini atau menggunakan borang maklumbalas di bawah. Komen membina anda adalah diperlukan untuk menambahbaik blog ini. Terima kasih.

Ulasan

Catat Ulasan

Catatan Popular