English atau Bahasa Melayu?

Saya pun terfikir, nak mulakan blog ni dengan Bahasa Inggeris atau Bahasa Melayu? Tapi saya nak jadikan blog ni dapat difahami semua orang Malaysia. Dah banyak blog teknologi dalam English. Bagi orang kita yang tak berapa faham English macamana? Terutama untuk pelajar sekolah. Cuma yang menjadi tanda tanya, jika saya guna Bahasa Melayu sepenuhnya, akan menjadikan blog ini agak pelik.

Bukan apa, ini kerana banyak perkataan atau terma teknologi dan kejuruteraan yang mana kita lebih faham dalam Bahasa Inggeris. Contohnya, jika saya menukar terma "microcontroller" dalam Bahasa Melayu akan menjadi "kawalan mikro". "Output" pula akan menjadi "keluaran". "Polarity" menjadi "kekutuban". Bagaimana pula dengan "boring" iaitu terma untuk proses menebuk lubang yang rata pada sesuatu bahan material)? Takkan saya nak tukar kepada "membosankan" bahan pula? "Pulse Width Modulation" pula bagaimana? Jika ditukar akan menjadi "Ayunan Lebar Denyut". Macam "website" jadi "laman sesawang". "Web" boleh jadi "jaringan" manakala "site" boleh bermakna "tapak". Macam "construction site" bermakna "tapak binaan". Jadi "website" mungkin juga bermakna "tapak jaringan". Itu pada pendapat saya.

Oleh itu terma sebegini hendaklah merujuk kepada Kamus Kejuruteraan (kepada sesiapa yang biasa guna kamus ni, warna kuning hitam kulitnya) untuk mendapatkan terma yang tepat jika hendak ditukar kepada Bahasa Melayu. Hinggakan ada terma dalam English yang diMelayukan kerana tiada perkataan yang sesuai dalam Bahasa Melayu untuk digunakan dan perkataan itu lebih tepat dalam Bahasa Inggeris. Nak buat macamana, banyak teknologi yang dipelopori orang orang Barat dalam Bahasa Inggeris berbanding kita. Kalau kita yang mulakan dulu, sah-sah la kita guna dalam Bahasa Melayu, macam "durian" dan "rambutan" :).

Oleh yang demikian, saya fikir dan saya rasa saya akan menggunakan Bahasa Melayu tetapi jika terdapat terma atau perkataan dalam Bahasa Inggeris yang lebih sesuai digunakan, saya akan meletakkannya dalam kurungan untuk memudahkan semua lapisan pembaca memahami makna dan apa yang cuba saya sampaikan. Harap semua dapat memahaminya. Sekian, jumpa lagi. :)

Ulasan

Catatan Popular